Blogger Widgets
Blogger Widgets

Artikel 3 : Aku Cinta Padamu


Oh ibuuuuuuuuuuuu,kau disiram bayu pagi,kehilangan terasa kini…itulah bait-bait lirik lagu Oh Ibu dendangan oleh Mamat kumpulan Exist yang sangat terkenal pada ketika dulu. Tetapi adakah dendangan ini sesuai di masa sekarang?..Tepuk dada,tanya minda…tanya iman kita…

Ibu, mama, mak, ummi, mek, bonda adalah nama panggilan yang diberikan untuk seorang perempuan yang melahirkan anak yang keluar dari perutnya. Namun terfikir dihati aku, adakah salah ibu mengandung atau salah didikan guru,atau ustaz ustazah yang tidak menyampaikan adab terhadap ibu bapa? Saban hari di sana sini terdengar pelbagai kisah tentang si Ibu…ada yang pahit..ada yang manis…namun tahukah kita apakah makna keramat disebalik akronim Si Ibu….

'Ibu' adalah nama yang tidak dapat dipisahkan dalam kotak memori setiap insan. Pertarungan nyawa dan ketabahan menahan kesakitan mengandung, melahir dan membesarkan anak-anak bukanlah perkara asing dalam catatan diari hidup seorang ibu. Itulah tugas yang tercatat sebagai seorang ibu yang benar-benar berfungsi dalam mendidik anak-anak. Air mata, kelembutan, kasih sayang dan teman di masa susah atau senang adalah sebuah nukilan khas yang boleh aku dedikasikan buat ibu. Malah hemat aku juga tersemat utuh menyatakan semua ibu di dunia ini punya rasa yang sama. Naluri keibuan ini adalah sunnatullah yang tercipta bermula daripada Hawa AS. Jadi semestinya semua ibu, bakal ibu malah semua wanita mempunyai sifat-sifat yang saya nyatakan. Semestinya benar, bukankah begitu? Oleh itu, berbuat baik kepada orang tua dalam Al Qur'an menduduki tempat setelah tauhid dan memurnikan ibadah kepada Allah Swt. Al Qur'an dan As Sunnah telah memberi perhatian khusus kepada seorang ibu.

Islam telah mewajibkan anak-anak membalas jasa bakti ibu bapa terhadap diri mereka yang telah mengasuh , memelihara dan mendidik sehingga dewasa . Pengertian ibu bapa ialah insan yang melahirkan, membesarkan, mengasuh, mendidik serta menyediakan keperluan daripada kecil hingga dewasa. Tanpa ibubapa kita tidak mungkin hidup di dunia membesar dengan sihat menjadi manusia. Ibu bapa juga adalah insan istimewa malah paling istimewa bagi setiap manusia, sanggup berkorban segala-galanya demi kebaikan dan keselamatan anak-anaknya. Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun). (Surah al-Isra’:23)

Dalam hal ini Ibu adalah insan yang paling mulia yang pernah wujud dimuka bumi selain daripada para nabi dan rasul. Pengorbanan yang Ibu lakukan semenjak daripada dalam kandungan sehinggalah saaat kita dilahirkan adalah satu pengorbanan yang agung dan tidak dapat ditandingi oleh mana mana mahkluk yang pernah hidup dimuka bumi ini. Kebanyakan daripada kita kurang bersyukur dan berasa beruntung dengan apa yang diberikan oleh ibu bapa kepada kita. Adalah menjadi tanggungjawab seorang anak apabila dia lahir di dalam situasi keluarga yang serba kekurangan untuk memberikan yang terbaik kepada mereka semasa hidup.

Setiap hari adalah untuk ibu kerana dialah kita hadir di dunia ini. Justeru, bagi sesiapa yang masih ada ibu, rugi rasanya jika tidak mengambil kesempatan untuk meluangkan masa bersama dengannya. Semasa hayat ibu masih adalah, kita perlu sentiasa dekatkan diri dengannya, jika esok lusa tiada pasti akan rasa kehilangan besar dalam hidup. Kecantikan seseorang bukan terletak pada fizikal tetapi di hati. Cinta sejati bukan pada apa yang dilakukan dan dihebah-hebahkan tetapi pengorbanan tanpa diketahui. Keunggulan dan keagungan ibu juga amat tinggi sehingga sering diingatkan bahawa ‘Syurga Di Bawah Tapak Kaki Ibu’. Anak juga amat dituntut menghormati dan tidak sekali-kali menderhaka kepada ibu. Sebagai insan masing-masing mempunyai cerita dan pengalaman mengenai ibu.Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan bersusah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun,berdoalah ia dengan berkata: 

“Wahai Tuhanku,ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku,dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu,dan sesungguhnya aku dari orang Islam(yang tunduk dan patuh kepadaMu)”. (Surah Al-Ahqaaf:15)

Selagi ibu kita ada didunia ini, ciumlah dia, cium tangannya, sentiasa minta ampun darinya, berikan senyuman kepadanya, bukannya dengan bermasam muka, kasih ibu tiada tandingannya, ingatlah syurga di bawah telapak kaki ibu, penyesalan di kemudian hari tidak berguna, selagi hayatnya ada, curahkanlah sepenuh kasih sayang kepadanya, 'love u mom'. Dan kalau boleh, hari-hari kita hendak beritahu – saya sayang emak!


Artikel 2 : Ada Apa Dengan Solat ?



“Mama nak buat aper tu? Adik nak ikut leh tak mama?”terkedu apabila anak kecilku yang berusia empat tahun menyuarakan hasratnya untuk bersolat. Dengan penuh perasaan kasih sayang, aku terus menjawab, “Mama nak solat. Jom ikut mama, duduk kat belakang tau…” Benarlah kata para pujangga, didikan anak adalah bermula dari rumah iaitu perlakuan ibu dan bapa yang membentuk corak kehidupan dalam membentuk sikap dan akhlak seseorang anak. Maka, ajarlah mereka sesuatu yang diperintahkan oleh Nya iaitu solat. Ia merupakan syariat Allah yang diturunkan kepada umat manusia. Ia digelar sebagai tiang agama. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W :

Maksudnya: Pangkal semua urusan adalah Islam, tiangnya ialah solat dan puncak tertingginya ialah jihad ( Riwayat Tarmizi )

Dalam riwayat ini, menyatakan bahawa, solat adalah ibadah yang amat penting dalam Islam, ia diletakkan sebagai rukun Islam yang kedua dan ia merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat. Ianya seperti, membina sebuah rumah, maka runtuhlah rumah tersebut kerana tanpa tiang.

Sebenarnya, jika kita benar–benar khusyuk di dalam solat, secara tidak langsung, terbentuklah nilai akhlak yang baik, maka terhindarlah kita daripada melakukan perkara yang terkutuk iaitu perkara dilarang oleh Allah. Justeru itu, artikel ini adalah menekankan tentang beberapa kelebihan solat. Antaranya baru-baru ini, penemuan daripada seorang doktor pakar dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, menyatakan rawatan untuk mengubati penyakit seperti mati pucuk adalah dengan melaksanakan perlakuan solat dengan kaedah yang betul. Dengan bahagian-bahagian sendi dan urat yang lain, sukar dilakukan melalui pembedahan, maka dengan cara pergerakan solat boleh mengurangkan kesakitan seperti penyakit migrain. Ini adalah suatu fakta yang menarik minat golongan doktor yang bukan Islam secara tidak langsung mengajak mereka memeluk agama yang diredhai dalam menghayati keindahan Islam.

Memang tidak dinafikan bahawa manusia sentiasa dalam kelalaian. Itu tidak termasuk lagi dengan kelalaian dengan sengaja seperti melambatkan urusan kerja yang telah diamanahkan oleh majikan, masuk lewat ke pejabat dan sebagainya. Oleh itu, dengan mengerjakan solat secara ikhlas insyaallah akan membentuk akhlak baik dengan menjaga waktu melalui ibadah solat. Dalam solat juga perlu ada kesabaran, dalam masa lima hingga lapan minit kebiasaannya kita mengerjakan solat, pelbagai cubaan dan gangguan samada zahir dan batin. Kesimpulannya, nikmat yang Allah S.W.T berikan terlalu luas dan sebagai hamba yang selalu bergantung kepada pertolongan Allah S.W.T pastinya semua itu tidak akan mampu dibayar nilainya oleh mana - mana manusia sekalipun. Tetapi adakah kita sebagai hamba berkira untuk taat dan patuh kepada perintahnya?Fikir-fikirkanlah….


Artikel 6 : Ceritera Persahabatan


Dan seorang remaja berkata, bicaralah pada kami tentang Persahabatan. dan dia menjawab “Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi…Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih…Dan dia pulalah naungan dan pendianganmu.

Kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian. Bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.Dan bilamana dia diam,hatimu berhenti dari mendengar hatinya; kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan.Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita…Kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.

Dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan.Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya, bukanlah cinta , tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan.Dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu?

Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!Kerana dialah yang boleh mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.Dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan…Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan.

Apabila kita ingin berteman, janganlah kerana kelebihannya, kerana mungkin satu kelemahan, kau mungkin akan menjauhinya.Andai kau ingin berteman, janganlah kerana kebaikannya keranaa mungkin dengan satu keburukannya, kau akan membencinya.Andai kau ingin sahabat yang satu janganlah kerana ilmunya, kerana apabila dia buntu kau mungkin akan memfitnahnya.Andai kau ingin seorang kawan janganlah kerana sifat cerianya kerana andai dia tak pandai menceriakan, kau mungkin akan menyalahinya.Andai kau ingin bersahabat...terimalah dia seadanya, kerana dia seorang sahabat yang hanya manusia biasa.Jangan diharapkan semuanya sempurna kerana kau juga tidak sempurna. Tiada yang biasa-biasa menjadi satu sempurna tapi bersahabatlah kerana Allah Fillah....


Artikel 5 : Susah Sangat ke Nak ke Masjid?


Peranan remaja merupakan tonggak utama kemajuan dan kekuatan sesebuah negara. Kita dapati dalam sesebuah masyarakat yang maju dan suasana persekitaran yang baik adalah lantaran wujudnya remaja yang berpotensi, optimistik dan baik akhlaknya. Apabila masyarakat itu baik, maka secara tidak langsung negara turut maju dan aman. Namun yang menjadi masalah kita hari ini ialah masih wujud para remaja yang tidak tahu apakah sebenarnya peranan diri mereka sama ada untuk diri mereka sendiri, keluarga, masyarakat ataupun negara.

Sejarah telah membuktikan bahawa golongan pemuda merupakan golongan yang paling berperanan di dalam perkembangan dakwah Islam. Rasulullah (s.a.w) sendiri sewaktu menerima wahyu yang pertama berusia 40 tahun. Sementara Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar masing-masing berumur 37 tahun dan 27 tahun sewaktu menerima Islam. Islam sangat mengambil berat tentang remaja. Di dalam al-Quran banyak terdapat ayat-ayat yang mengisahkan tentang peranan dan perjuangan remaja. Antaranya ialah menceritakan tentang kisah beberapa orang remaja yang lari ke gua kerana hendak menyelamatkan aqidah mereka dari kekejaman seorang raja. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“(Ingat peristiwa) tatkala serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berikanlah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”. (Al-Kahfi: 10)

Allah juga menyebutkan tentang wasiat Luqman kepada anaknya supaya tidak menyekutukan Allah, menyedarkan bahawa Allah S.W.T. Maha Mengetahui segala-galanya, mendirikan sembahyang, tidak merasa angkuh dan sentiasa bersederhana dalam tingkah laku. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Wahai anak kesayanganku, dirikan sembahyang, suruhlah berbuat kebaikan dan larang daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”. (Luqman:17)

Pada zaman Rasulullah (s.a.w) didapati remaja Islam begitu gigih dan beriman. Golongan merekalah yang mencatatkan sejarah yang agung ke arah mengembangkan dakwah Islam. Remaja-remaja Islam pada zaman itu merupakan pembawa panji-panji Islam yang sentiasa tersebar dan berkibar dalam satu kawasan geografi yang luas. Keluasannya meliputi empayar Rom dan Parsi. Kekuatan yang ada pada remaja Islam pada masa itu ditunjangi oleh mereka seperti Abdullah bin Mas’ud, Abd.Rahman bin Auf, Said bin Zaid dan ramai lagi. Memang tidak dinafikan ketabahan dan ketulenan jiwa mereka sentiasa direstui oleh Allah S.W.T. sama ada di bawah pimpinan Rasulullah (s.a.w) mahupun sahabat-sahabat baginda yang menjadi khalifah kemudiannya.

Sejarah Islam telah membuktikan bagaimana peranan dua remaja yang mengharumkan nama Islam iaitu Saidina Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid yang memainkan peranan dalam perkembangan Islam. Saidina Ali sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah semasa Rasulullah dikepung oleh pemuda-pemuda Qurish sedangkan ia tahu nyawanya terancam. Manakala Usamah bin Zaid dalam usia remaja beliau telah menerima amanah yang besar daripada Abu Bakar As-Sidiq untuk memimpin satu bala tentera ke medan jihad sebagai pengganti ayahnya. Demikianlah pengiktirafan Islam terhadap peranan golongan remaja yang menunjukkan contoh perjuangan Islam yang dapat menyayangi golongan yang lebih tua kepada mereka.

Peranan remaja menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Remaja yang baik akan mewujudkan negara yang maju dan seimbang dalam semua bidang rohani dan jasmani. Sebaliknya remaja yang tidak baik atau yang tidak mempunyai kesedaran adalah merugikan, malah melemahkan masyarakat dan negara. Pembentukan sesebuah negara yang baik dan maju haruslah bermula dari pembentukan individu yang baik terlebih dahulu, kemudian disusuli pula dengan pembentukan keluarga yang baik, kemudian dari keluarga yang baik ini akan mewujudkan sebuah masyarakat yang baik. Seterusnya melalui masyarakat yang baik akan tertegaklah sebuah negara yang baik dan maju. Ini bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh akal, negara yang sejahtera dan mendapat keampunan daripada Allah.

Fenomena Remaja Pada Hari Ini

Secara umum minat golongan remaja untuk menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka adalah berbeza-beza berdasarkan perbezaan latar belakang, taraf intelektual dan pengaruh persekitaran masing-masing. Dengan demikian didapati di sesetengah tempat, masjid penuh dengan golongan ini, manakala di sesetengah tempat lain tidak pula.Sungguhpun begitu masih terdapat kekosongan dalam ruang lingkup kehidupan golongan remaja ini untuk diisikan atau dipertingkatkan ‘nilai-nilai masjid’ supaya paradigma pemuda dan remaja ini dapat berada pada tahap yang tinggi dan dihormati. Perancangan dan usaha yang rapi sangat perlu bagi memenangi persaingan ke atas pengaruh negatif yang sentiasa mencari peluang untuk merosakkan golongan ini. Harus diingat bahawa kehidupan dunia masakini yang semakin maju dan kompleks, sememangnya memberi pengaruh yang besar dalam sosialisasi kehidupan setiap remaja.

Apa yang dibimbangi ialah naluri kejiwaan remaja yang sentiasa cenderung kearah keseronokan akan lebih parah apabila jiwa-jiwa mereka tidak mampu menangkis segala macam ancaman budaya barat yang sentiasa menggoda serta runtunan dan hambatan nafsu ammarah yang setiap detik dan ketika meronta-ronta dan merungut-rungut mengajak menyimpang dari haluan mengamalkan nilai-nilai masjid. Dengan demikian kehidupan golongan remaja perlu dipenuhi dengan peningkatan nilai-nilai unggul dan murni. Sekiranya kekosongan ini tidak diisi dengan nilai-nilai tersebut, nilai-nilai negatif pasti mudah mengambil tempat kekosongan yang wujud itu.

Permasalahan Remaja

Mutaakhir ini seluruh masyarakat dikejutkan dengan rentetan peristiwa dan masalah yang melanda golongan remaja. Gejala mungkar di kalangan mereka ditunjukkan dengan lingkaran cerita yang sangat memalukan dan dengan pendedahan variable yang memeranjatkan. Dalam satu kajian (1994) tentang perilaku membuang masa di kalangan remaja oleh Kementerian Belia Dan Sukan dengan kerjasama enam buah universiti tempatan, didapati sebanyak 28 peratus atau 1,640 daripada 5860 remaja yang disoal selidik telah mengaku terbabit dalam kegiatan seks bebas, 40 peratus terbabit pernah menonton video lucah , 25 peratus mengaku meminum minuman keras, 14 peratus menagih dadah dan 71 peratus menghisap rokok. Kajian ini mendedahkan betapa amalan seks luar nikah yang sangat terkutuk itu dianggap sebagai perkara biasa. Lebih malang lagi ialah 83 peratus daripada remaja yang suka melepak adalah Melayu dan beragama Islam. (Berita Harian 1 Jun, 1994).

Penglibatan golongan pemuda dalam kegiatan-kegiatan negatif seperti penyalahgunaan dadah, alkoholisme, seks bebas, malas, berseronok berlebih-lebihan dan lain-lain seperti yang telah disebutkan bukan sahaja boleh merendahkan martabat diri sendiri tetapi boleh memudaratkan kesihatan dan membawa maut. Islam sangat melarang keras setiap tindakan salah laku yang membawa kemusnahan.Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan…”(Al-Baqarah: 195)

Kesan yang lebih buruk dari tindakan yang kurang sihat ialah meruntuhkan masyarakat serta negara yang kesemua ini merupakan kemungkaran yang akan mendapat kemurkaan serta pembalasan daripada Allah S.W.T…fikir..fikirkan…;)


Artikel 4 : Ya Ilahi...Sudilah Pandang Hambamu Ini


Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan namaMu Ya Allah Yang Sentiasa Mengasihi hamba-hambaMu…
Ingin aku berbicara denganMu di setiap masa yang aku ada dan di setiap tempat aku berada …Ingin aku meluahkan segala apa yang terpendam dalam hati ini….
Walau aku tahu Engkau sangat-sangat memahami dan mengetahui,
Tanpa aku bicarakannya kepadaMu…
Malah Engkau lebih tahu segalanya tentang aku daripada diriku sendiri…
Kerana Engkau yg memiliki sekeping hati ini…
Kerana Engkau lebih dekat denganku daripada urat leherku sendiri….


Pernahkah aku merasakan hati aku begitu kosong dan hampa, semangat terasa pudar dan hambar serta tiada lagi kekuatan jiwa. Disaat ini hari-hari yang ditempuhi terasa hambar dan aku seolah-olahnya terasing dalam dunia aku sendiri. Aku cuba mencari dimana silapnya. Adakah kerana dosa-dosa masa lalu atau kerana jiwa aku terlalai dari mengingati Allah SWT. Akupun bertaubat dan memanjangkan munajat aku namun jiwa tetap terasa kosong "seolah-olah doa dan munajat aku tidak sampai kelangit". Aku cuba mengalirkan air mata keinsafan tetapi hati aku rasanya terlalu keras untuk itu; seolah-olahnya air mata aku telah kering untuk itu. Keyakinan terhadap apa yang Allah janjikan tidak lagi menguasai hati dan fikiran aku.

Aku cuba pula membuka lembaran-lembaran al Quran... mencari ayat-ayat yang pernah menyentuh hati aku dan akupun cuba menghayatinya agar hati aku kembali lembut dan lunak tetapi itupun gagal. Kini aku tidak tahu lagi apa yang sebenarnya aku sedang cari dari kehidupan yang seketika ini, aku mula kehilangan fokus dalam kerja-kerja aku dan ibadah aku mula kehilangan ruh. Segalanya terlalu kabur. Kehidupan aku disaat ini seolah-olahnya suatu fasa yang aku lalui secara terpaksa. Masa-masa yang ditempuhi terasa begitu perlahan bahkan kadang-kadang terasa seakan-akan jarum jam berhenti berputar beberapa kali.Inilah yang aku rasakan saat ini. Kehidupan yang hambar dan kosong setelah melalui saat hidup yang bertenaga dan bersemangat.Adakah ini adalah salah satu fasa kehidupan yang akan ditempuhi oleh sesiapa sahaja yang ingin mendekatkan dirinya pada Rabbnya atau hanya aku saja yang menempuhinya.

Adakah sudah lagi tiada keredhaan Allah? Apa untungnya aku menimbulkan persoalan ini. Bukankah memikirkan begini sememangnya telah menjauhkan aku dari rahmatnya dan mengundang kemurkaanNya. Bukankah Allah mencela mereka yang berputus asa dengan rahmatnya. Bukankah memikirnya adalah suatu kemungkaran yang akan mencemarkan aqidah. Bukankah dulu , pernah seorang pemuda yang menangis di depan pintu rumah Rasulullah SAW dan tangisannya begitu dahsyat hinggakan Saidina Umar RA yang melihat keadaannya turut menangis tanpa sempat bertanya kenapa. Apabila Rasulullah datang dan bertanya lalu pemuda itu menceritakan dosanya yang bukan kepalang dan dia takut Allah tidak mengampunkan dosanya. Akupun mungkin akan fikirkan begitu; seorang pemuda yang kerjanya mencuri kain kapan disetiap malam apabila siangnya ada mayat yang dikebumikan sehinggakan akhirnya suatu malam dia terpegun dengan kecantikan mayat seorang gadis yang telah dilondehkan kain kapannya. lalu pemuda tersebut menyetubuhi mayat gadis tersebut yang telah dimandikan dan dikapan sempurna. Dosa yang terlalu besar untuk diampunkan. namun kerana keikhlasan dan keinsafannya Allah SWT tetap mengampunkan dosanya dan dan mati dalam keadaan terampun dosanya apabila dia sendiri terkejut kerana Allah masih mengampunkan dosanya. Dan kerana kejutan itu dia lalu rebah dan terus meninggal dunia.

Jadi persoalan ini perlu cepat-cepat aku padamkan dan nyahkan dari kotak fikiran aku. Tentunya persoalan ini bukan penyelesai masalah bahkan menimbulkan masalah yang lebih besar. Tentunya ini adalah bisikan syaitan yang sememangnya sudah lama menanti peluang untuk menyuntik jarum keraguan dan telah terlalui ramai yang mati jiwanya kerana suntikan jarum keraguan ini. Aku ingin terus hidup dengan keimanan, aku tidak akan biarkan keraguan ini menguasai dan menyeretku kelembah kehinaan dan kenistaan. Kelembah kekufuran yang gelap dan penuh keraguan yang pernah aku tinggalkan dulu. Telah banyak air mata yang telah aku alirkan untuk menangisi fasa yang telah berjaya aku tinggalkan itu. Jadi itu bukan penyelesaiannya untuk mengisi segala kekosongan yang sedang aku rasai ini.

Mungkin ini sememangnya ujian dari Allah SWT untuk menguji benar atau tidaknya keyakinan aku padaNya dan pada hari pertemuan dengannya. Kalau ini benar-benar ujian dari Allah, yang perlu aku lakukan sekarang ini ialah terus bermunajat dan memohon kekuatanNya. Ya......semua orang akan diuji. Cuma mungkin ujian ini agak ganjil, namun ianya tetap ujian dan sekiranya aku berjaya maka aku tentunya akan lebih hampir kepadaNya. Rasulullah SAW pernah mengatakan bahawa orang yang paling dahsyat yang menerima ujian adalah para nabi, kemudian orang yang mengikuti mereka, kemudian orang yang mengikuti mereka, kemudian orang ytang mengikuti mereka. Jadi kalau aku ingin tetap berada di atas jalan kebenaran dan mengikut jalan pengikut para nabi maka ujian ini adalah satu kemestian. Mungkin ini yang perlu aku fikirkan. Kalau aku salah aku tidak akan rugi apa-apa tetapi jika betul sudah tentu fasa ini akan membuka jalan untuk aku lebih hampir kepada Allah. Dan sebaik saja yang fikirkan perkara ini aku mula merasakan sedikit kekuatn menyerap masuk ke dalam jiwa aku. sekurangnya aku tidak lagi meragui sifat kasih sayang Allah dan pengampunannya yang menjadi syarat penyempurnaan Iman.

Tuhan, pegang eratlah hati ini agar sentiasa aku rasa dekat denganMu….
Aku harap Kau terima amalku untuk aku persembahkan di hadapanMu kelak….
Ya Allah, dengarkanlah rintihan & permohonan hatiku ini….
Hadiahkanlah cahayaMu kepadaku sehingga saat aku dipanggil pulang olehMu….
Amiin Ya Rabb….Aku pasrah Ya Ilahi…


Artikel 1 : Jom Berpahala dengan Muka Buku


“Awak ader facebook?” tanya lelaki yang kacak ala-ala Shah Rukh Khan…Dengan tersipu-sipu macam kerang busuk, gadis itupun menjawab..”ader….awak taip nama ni……….” Itulah pertemuan perkenalan seseorang pada masa kini. Pertemuan yang singkat boleh mengeratkan silatulrahim seseorang dengan lebih mendalam. Sebenarnya situasi sebegini memang lazim berlaku, akan tetapi adakah facebook memberi banyak kesan yang negatif ataupun positif? Tepuk dada tanya minda dan iman kita. Jika kita bijak menggunakannya insyaallah ia adalah suatu bentuk yang memberi manfaat untuk berdakwah kepada seseorang yang boleh disebarkan melalui teknologi yang canggih pada masa kini iaitu facebook. Fenomena sekarang, mereka lebih suka memerap dihadapan komputer berbanding bersemuka di antara satu sama lain.

Dengan hanya perlu menekan klik untuk dihantar, ianya mengambil masa beberapa saat untuk disebarkan kepada rakan-rakan facebook. Dengan tajuk yang diutarakan ini, bukanlah menggalakkan kita terus berfacebook kerana terdorong untuk memperoleh 'pahala'. Ia cuma sebagai satu pendorong kepada kita untuk memanfaatkan masa yang terluang semasa berfacebook untuk memperoleh pahala dari-Nya. Bagi pandangan saya, antaranya ialah melalui facebook chat yang mana walaupun seseorang itu berjauhan melangkaui batasan geografi, ia dapat dieratkan dengan berchatting melalui perkongsian ilmu yang bermanfaat seperti perbincangan sesuatu masalah ataupun kemusykilan isu-isu agama mahupun pembelajaran.Ini kerana,ianya tidak memerlukan kos yang tinggi berbanding menggunakan telefon kerana penggunaan facebook chat adalah percuma. Namun demikian, adalah perlu diingatkan supaya penggunaan bahasa yang digunakan dalam laman Facebook ini adalah menepati kehendak syariat Islam. Contohnya, tidak menggunakan bahasa yang lucah, kasar dan boleh menyinggung perasaan pengguna yang lain. Insyaallah jika niat kita betul……pasti matlamatnya akan di redhai oleh Allah S.W.T.

Selain itu, terdapat juga di laman facebook bermacam ragam didalam status seperti lucu, geram, keliru, hairan dan seronok dapat ditonton. Ada juga yang melaporkan luahan perasaan selepas putus cinta, kemarahan dan tidak kurang juga ada yang bergaduh, saling perli-memerli lagi best sempat lagi tag 'musuhnya'. Bagi yang membaca status, jari-jemari ligat menekan 'like'. Ada juga yang menulis status dan mengharapkan 'like' yang banyak. 'Like' yang banyak mungkin satu kepuasan buat dirinya. Tulislah status yang bermanfaat, diletakkan link ceramah agama dari Youtube, ataupun sekurang-kurangnya video-video menarik lucu dan berunsur nasihat dari blogger terkenal. Zaman sekarang, lihat sahaja dalam laman YOU TUBE ataupun laman laman blog yang lain, pilihannya terletak dihujung jari kita. Insyaallah…dengan cara sebegini maka usaha kita dalam berkomunikasi dengan pengguna lain akan dapat dicapai malahan usaha dakwah dapat juga dijalankan.

Di samping itu juga penggunaan group adalah amat memberi kelebihan terhadap para pelajar universiti. Di mana laman group ini, boleh dibuat perbincangan mengenai sesuatu tugasan yang diberikan. Antara group-group yang bermanfaat kepada kita ialah Kami Islam, Imam Muda, I Luv Islam, Tanyalah Ustaz Ustazah dan banyak lagi. Insyaallah dengan cara yang disarankan ini, maka pahala kita akan bertambah dan kehidupan kita akan diberkati oleh Allah S.W.T sepanjang di dua dunia.

Akhir sekali, gunakan kemudahan share untuk berkongsi notes dan status rakan-rakan yang bermanfaat dan lebih baik dikongsi status ilmuan-ilmuan agama yang memberi manfaat kepada orang yang membacanya. Dengan adanya perkongsian share notes ini, maka ia akan memberi penambahan ilmu pengetahuan baik kepada kita mahupun terhadap orang lain. Namun perlu diingatkan juga akan kesahihan maklumat yang dikongsi agar tujuannya tidak disalah ertikan oleh pihak yang menilainya. Insyaallah dengan cara ini juga, pahala kita akan bertambah dan niat baik kita sentiasa terpelihara.


Kongsikan