Blogger Widgets
Blogger Widgets

Artikel 3 : Aku Cinta Padamu


Oh ibuuuuuuuuuuuu,kau disiram bayu pagi,kehilangan terasa kini…itulah bait-bait lirik lagu Oh Ibu dendangan oleh Mamat kumpulan Exist yang sangat terkenal pada ketika dulu. Tetapi adakah dendangan ini sesuai di masa sekarang?..Tepuk dada,tanya minda…tanya iman kita…

Ibu, mama, mak, ummi, mek, bonda adalah nama panggilan yang diberikan untuk seorang perempuan yang melahirkan anak yang keluar dari perutnya. Namun terfikir dihati aku, adakah salah ibu mengandung atau salah didikan guru,atau ustaz ustazah yang tidak menyampaikan adab terhadap ibu bapa? Saban hari di sana sini terdengar pelbagai kisah tentang si Ibu…ada yang pahit..ada yang manis…namun tahukah kita apakah makna keramat disebalik akronim Si Ibu….

'Ibu' adalah nama yang tidak dapat dipisahkan dalam kotak memori setiap insan. Pertarungan nyawa dan ketabahan menahan kesakitan mengandung, melahir dan membesarkan anak-anak bukanlah perkara asing dalam catatan diari hidup seorang ibu. Itulah tugas yang tercatat sebagai seorang ibu yang benar-benar berfungsi dalam mendidik anak-anak. Air mata, kelembutan, kasih sayang dan teman di masa susah atau senang adalah sebuah nukilan khas yang boleh aku dedikasikan buat ibu. Malah hemat aku juga tersemat utuh menyatakan semua ibu di dunia ini punya rasa yang sama. Naluri keibuan ini adalah sunnatullah yang tercipta bermula daripada Hawa AS. Jadi semestinya semua ibu, bakal ibu malah semua wanita mempunyai sifat-sifat yang saya nyatakan. Semestinya benar, bukankah begitu? Oleh itu, berbuat baik kepada orang tua dalam Al Qur'an menduduki tempat setelah tauhid dan memurnikan ibadah kepada Allah Swt. Al Qur'an dan As Sunnah telah memberi perhatian khusus kepada seorang ibu.

Islam telah mewajibkan anak-anak membalas jasa bakti ibu bapa terhadap diri mereka yang telah mengasuh , memelihara dan mendidik sehingga dewasa . Pengertian ibu bapa ialah insan yang melahirkan, membesarkan, mengasuh, mendidik serta menyediakan keperluan daripada kecil hingga dewasa. Tanpa ibubapa kita tidak mungkin hidup di dunia membesar dengan sihat menjadi manusia. Ibu bapa juga adalah insan istimewa malah paling istimewa bagi setiap manusia, sanggup berkorban segala-galanya demi kebaikan dan keselamatan anak-anaknya. Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun). (Surah al-Isra’:23)

Dalam hal ini Ibu adalah insan yang paling mulia yang pernah wujud dimuka bumi selain daripada para nabi dan rasul. Pengorbanan yang Ibu lakukan semenjak daripada dalam kandungan sehinggalah saaat kita dilahirkan adalah satu pengorbanan yang agung dan tidak dapat ditandingi oleh mana mana mahkluk yang pernah hidup dimuka bumi ini. Kebanyakan daripada kita kurang bersyukur dan berasa beruntung dengan apa yang diberikan oleh ibu bapa kepada kita. Adalah menjadi tanggungjawab seorang anak apabila dia lahir di dalam situasi keluarga yang serba kekurangan untuk memberikan yang terbaik kepada mereka semasa hidup.

Setiap hari adalah untuk ibu kerana dialah kita hadir di dunia ini. Justeru, bagi sesiapa yang masih ada ibu, rugi rasanya jika tidak mengambil kesempatan untuk meluangkan masa bersama dengannya. Semasa hayat ibu masih adalah, kita perlu sentiasa dekatkan diri dengannya, jika esok lusa tiada pasti akan rasa kehilangan besar dalam hidup. Kecantikan seseorang bukan terletak pada fizikal tetapi di hati. Cinta sejati bukan pada apa yang dilakukan dan dihebah-hebahkan tetapi pengorbanan tanpa diketahui. Keunggulan dan keagungan ibu juga amat tinggi sehingga sering diingatkan bahawa ‘Syurga Di Bawah Tapak Kaki Ibu’. Anak juga amat dituntut menghormati dan tidak sekali-kali menderhaka kepada ibu. Sebagai insan masing-masing mempunyai cerita dan pengalaman mengenai ibu.Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan bersusah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun,berdoalah ia dengan berkata: 

“Wahai Tuhanku,ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku,dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu,dan sesungguhnya aku dari orang Islam(yang tunduk dan patuh kepadaMu)”. (Surah Al-Ahqaaf:15)

Selagi ibu kita ada didunia ini, ciumlah dia, cium tangannya, sentiasa minta ampun darinya, berikan senyuman kepadanya, bukannya dengan bermasam muka, kasih ibu tiada tandingannya, ingatlah syurga di bawah telapak kaki ibu, penyesalan di kemudian hari tidak berguna, selagi hayatnya ada, curahkanlah sepenuh kasih sayang kepadanya, 'love u mom'. Dan kalau boleh, hari-hari kita hendak beritahu – saya sayang emak!


No comments:

Post a Comment

Kongsikan